Aznan Tamin bersalaman dengan para pelajar SMK Tunku Abdul Rahman Putra ketika melakukan lawatan hari ini.

SKULAI – Johor tidak menghadapi isu kepadatan murid pada sesi persekolahan baharu tahun ini.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, masalah itu telah pun dapat diatasi dengan kewujudan dua sesi persekolahan pada sebelah pagi dan petang.

“Setakat ini masih lagi terkawal di Johor, tiada sebarang masalah membabitkan masalah itu seperti mana yang berlaku sebelum ini.

“Mengambil contoh di Kangkar Pulai yang dilaporkan pada tahun lepas berdepan isu kepadatan murid dan pelajar, kita (kerajaan negeri) telah pun berjaya atasinya dengan melaksanakan sekolah dua sesi ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, dekat sini.

Mengulas lawatan itu, jelas Aznan, pihaknya akan memberi tumpuan kepada isu penyelenggaraan sekolah dan diselesaikan bagi memberi keselesaan kepada pelajar dan guru.

“Keutamaan saya ialah memastikan sekolah ini dapat meneruskan pembelajaran dengan persekitaran lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan berkala dan mengejut bagi melihat sendiri prasarana sekolah.

Katanya, sejak dua tahun lalu hampir RM15 juta telah diperuntukan Kerajaan Negeri Johor untuk menaik taraf sekolah-sekolah di negeri ini.

Mengulas lawatan itu, Aznan berkata, sebanyak RM80,000 akan disalurkan ke SMK Tunku Abdul Rahman Putra bagi kerja-kerja baik pulih sekolah itu.

Peruntukan itu meliputi kerja-kerja baik pulih siling yang rosak dan pecah serta kerja-kerja menukar pintu yang telah rosak.

“Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan dana hampir RM 15 Juta sejak tahun 2022 bagi menaik taraf infrastruktur di sekolah-sekolah dalam negeri Johor.

“Ini bukti bahawa Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa komited dalam menyelesaikan masalah-masalah infrastruktur di institusi pendidikan terutama di sekolah-sekolah,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast