Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – McDonald’s akan kekal dikategorikan di bawah ‘sasaran boikot organik’ oleh badan bukan kerajaan (NGO) pro Palestin, Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia.

Menurut BDS Malaysia, pihaknya tidak terkejut dengan keputusan McDonald’s Malaysia menarik saman fitnah terhadap organisasi itu hari ini.

Katanya, BDS Malaysia secara konsisten menegaskan tuntutan saman terhadapnya adalah tanpa merit dan tidak mempunyai asas undang-undang.

“Syarikat itu terus diboikot oleh individu yang teliti di seluruh dunia kerana dakwaan bersubahat dengan tindakan di Palestin, yang secara tragis mengakibatkan kehilangan lebih 32, 000 nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

“Kami menggesa masyarakat global untuk terus memboikot Israel dan semua entiti terlibat dalam mengekalkan ketidakadilan sehingga Palestin mencapai kebebasan dan keadilan untuk semua rakyatnya, dari sungai hingga ke laut,” katanya dalam kenyataan.

McDonald’s Malaysia menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia selepas hasil positif proses mediasi antara kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Datuk Azmir Jaafar berkata, ia susulan penjelasan yang dibuat BDS Malaysia bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel sama sekali tiada kena-mengena dengan McDonald’s Malaysia.

“Kami ingin menekankan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan semua pihak memahami dengan jelas tentang kedudukan McDonald’s Malaysia dalam konflik yang berlaku di Timur Tengah ketika ini.

“Kami tetap teguh dengan pendirian untuk tidak menyokong serta terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan. Setelah beroperasi lebih empat dekad di Malaysia dan sebagai perniagaan 100 peratus milik Muslim, kami berbangga menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat di negara ini.

“Kami berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak berganding bahu dan menumpukan usaha mencari penyelesaian demi menegakkan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pemilik francais McDonald’s di Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR) sebelum ini menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada BDS Malaysia.

Organisasi itu turut dituntut membayar ganti rugi RM6 juta termasuk RM3 juta kehilangan pendapatan, RM1.5 juta bagi pekerja diberhentikan dan RM1.5 juta untuk bahan makanan tamat tempoh. – MalaysiaGazette