Tian Soon mengadakan lawatan untuk melihat sendiri tahap kebersihan peniaga-peniaga di bazar Ramadan dekat Taman Universiti,Skudai petang semalam.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memandang sirius dakwaan  tiga kes keracunan dan makanan basi membabitkan peniaga bazar Ramadan.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kejadian itu melibatkan satu kes di Mersing dan dua di Johor Bahru.

Menurutnya, laporan ini dibuat oleh  pengunjung menerusi imbasan kod QR yang diperkenalkan JKNJ di tapak-tapak bazar Ramadan.

” Kita akan menyiasat aduan itu dan jika benar yang dilaporkan tindakan bersesuaian akan dikenakan kepada peniaga terbabit,” katanya selepas Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai, semalam.

Katanya, aduan sedang disiasat dan akan diambil tindakan sewajarnya jika benar berlaku pelanggaran ke atas mana-mana Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu kompaun atau tutup tidak lebih 14 hari untuk tujuan pembersihan,” katanya selepas Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai, lewat petang semalam.

Beliau berkata, JKNJ telah mengeluarkan 49 notis kompaun (32B) sepanjang minggu pertama berpuasa kepada peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 termasuk melibatkan aspek kebersihan.

Sejumlah 1,399 premis makanan di Bazar telah diperiksa pada minggu pertama berpuasa dan 1,393 atau (99.6 peratus) daripadanya mempunyai tahap kebersihan yang baik melebihi 80 peratus.

Tambahnya lagi, setakat hari ini tiada premis yang diarah tutup.- MalaysiaGazette