Pegawai KDN dan JAIM melakukan pemeriksaan di sebuah premis

MELAKA – Pihak berkuasa di negeri ini merampas pelbagai jenis produk berkaitan al-Quran yang tidak mendapat perakuan pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu di sini semalam.

Bahagian Penguatkuasaan dan Penguatkuasaan Dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka menerusi Facebook (FB) rasminya berkata, Ops Mulia di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (APTQ) itu melibatkan beberapa premis.

“Operasi menjurus kepada pemeriksaan teks al-Quran dan bahan-bahan kitab suci itu di premis termasuklah bingkai-bingkai kaligrafi, rantai kunci, cakera digital bacaan ayat al-Quran dan jam dinding.

“Hasil pemeriksaan, kita merampas barangan berkenaan yang yang diletakkan di rak jualan premis kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(1) APTQ 1986 (Pindaan 2023),” katanya.

Sebahagian daripada bingkai-bingkai kaligrafi, rantai kunci, cakera digital bacaan ayat al-quran dan jam dinding yang dirampas keseluruhannya bernilai RM64,702.

Tambahnya, selain itu juga terdapat pelanggaran di bawah Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan dan Pelupusan Bahan-Bahan Penerbitan dan Perhiasan Mengandungi Ayat Suci al-Quran.

“Kesemua barangan dirampas dianggarkan bernilai RM64,702,” katanya.

Mana-mana penjualan dan pengedaran mashaf al-Quran perlu mendapat perakuan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ). – MalaysiaGazette