KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 kepada pemilik akaun Facebook, Chiok Wai Loong kerana membuat hantaran jelik mengenai stoking bercetak kalimah Allah.
Hukuman itu diputuskan selepas juruteknik aplikasi sosial, Chiok 35 tahun tanpa diwakili peguam mengaku bersalah terhadap pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan hantaran jelik berkenaan pada 18 Mac lalu.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di bawah perenggan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan di bawah subseksyen 233(3) akta yang sama.
Sebelum dijatuhkan hukuman, Chiok merayu supaya mahkamah tidak memenjarakannya kerana bimbang hilang pekerjaan.
Malah, dia mengaku tidak tahu hantarannya itu memberi kesan besar dan serius.
“Saya tidak sengaja buat (hantaran) macam hobi sebagai keyboard warrior tapi bukan hobi saya menghina. Saya tidak tahu isu stoking itu sensitif. Saya tidak fikir serius, saya fikir itu hal kecil,” kata tertuduh.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh memohon supaya mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal untuk memberi pengajaran terhadap pesalah dan masyarakat di luar sana tentang kepentingan menjaga sensitiviti agama.
“Media sosial bukan platform yang boleh digunakan untuk membuat hantaran yang boleh menyakitkan hati orang lain terutamanya kes ini merujuk golongan rakyat Muslim.
“Bagi kes ini terdapat 24 laporan polis dibuat orang awam di mana situasi tersebut menunjukkan keseriusan yang dicetuskan dan ramai terkesan dengan hantaran tersebut,” katanya.
Sementara itu, Hakim Suzana Hussain turut menetapkan penjara tiga bulan kepada pesalah jika gagal membayar denda seperti yang diarahkan. – MalaysiaGazette
Terbaik. Kalau tengok dalam media sosial, ramai lagi graduan sek vernacular yang ulas bukan bukan pasal isu ni. Ya, mereka anggap benda ni remeh dan hal2 muslim melayu hanya benda lucu bagi mereka yang lupa asal usul sendiri. Harap yang biadap2 ini mendapat balasan sesuai keceluparan mereka.