Sungai Kulim yang merentasi sempadan Pulau Pinang didakwa tercemar akibat ladang ternakan baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menafikan tuduhan tiada tindakan diambil pihaknya bagi menangani isu pencemaran sungai di  kawasan Seberang Perai yang didakwa berpunca daripada ladang ternakan.

Ketua Whip Ahli Majlis MBSP, Zainuddin Mohamad berkata, MBSP sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kerajaan Tempatan serta Undang-Undang Kecil yang berkaitan bagi isu-isu melibatkan pencemaran disebabkan ladang ternakan.

Jelas beliau, sebanyak 15 daripada 116 premis ternakan babi di seluruh Seberang Perai telah disekat dan dibatalkan Lesen Premis Veterinar sejak tahun lalu.

Zainuddin Mohamad

Manakala bagi ladang ternakan unggas pula, sebanyak 44 premis telah disekat dan dibatalkan lesen, selain 121 kompaun dikeluarkan ke atas ladang yang masih beroperasi tanpa lesen.

“Tindakan itu diambil berikutan pemilik ladang ternakan babi itu gagal mendapat lesen ternakan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) seperti yang ditetapkan undang-undang.

“Untuk makluman, kesemua perundangan penutupan, sitaan serta pelucutanhak ladang babi serta unggas berada di luar bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan hanya boleh dikuatkuasakan secara eksklusif oleh JPVPP.

“Walau bagaimanapun, MBSP sentiasa bekerjasama membantu dan menjalankan operasi bersepadu bersama-sama JPVPP berteraskan prinsip ‘double action’ secara berterusan, tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zainuddin, MBSP meletakkan isu kacau ganggu daripada ternakan sebagai satu isu utama dalam segenap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, setiap tindakan tertakluk kepada ruang juridiksi serta ketetapan dalam perundangan sedia ada PBT dan pada masa  sama perlu bergerak seiring dengan undang-undang di luar bidang kuasa PBT.

“Saya bersetuju bahawa sikap penternak yang tidak mematuhi peraturan serta undang-undang menyebabkan pencemaran sungai amat meyusahkan masyarakat.

“Keseriusan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu pencemaran sungai daripada aktiviti penternakan yang tidak mematuhi peraturan ini telah membawa kepada inisiatif mewujudkan Enakmen penternakan. Melalui Enakmen tersebut hukuman yang lebih berat dapat dikenakan kepada mereka yang tidak patuh syarat.

“Jadi adalah kurang tepat dan boleh memburukkan imej PBT di mata rakyat sekiranya ada pihak masih mendakwa kerajaan negeri khsususnya MBSP gagal menangani isu pencemaran sungai disebabkan ladang perternak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff menggesa Kerajaan Pulau Pinang untuk mengambil tindakan lebih tegas untuk menyelesaikan isu pencemaran di Sungai Air Merah dan Sungai Kulim susulan pelepasan sisa itik yang dilaporkan baru-baru ini.

Beliau yang juga ADUN Sungai Dua berkata, sikap golongan penternak yang tidak bertimbang rasa dan berleluasa mencemarkan sungai menyebabkan hidup rakyat semakin sengsara.

Tambahnya, perkara itu amat bercanggah dengan tema kerajaan negeri yang dinaungi oleh DAP iaitu ‘Penang Bersih dan Hijau’. – MalaysiaGazette