Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bergambar bersama pelajar-pelajar UIAM ketika Majlis Rewang Ramadan 2024 di UIAM Gombak. Foto SYADILA AMARI, 22 MAC 2024.

GOMBAK – Dua penuntut yang menjadi sukarelawan Imaratul Masjid Group, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) teruja kerana bersama-sama memasak dengan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar untuk program Rewang Bubur Lambuk hari ini.

Imaratul Masjid Group merupakan sebuah kelab sukarelawan untuk Masjid Sultan Haji Ahmad Shah yang bergiat aktif memganjurkan program di UIAM.

Presiden Imaratul Masjid Group, Durrani Syahmi Az-Zharfan Azahar, 21, berkata, kesudian Tengku Ampuan Pahang untuk mencemar duli menyertai program rewang tahun ini menjadikan acara memasak bubur lambuk tahun ini cukup meriah.

Durrani Syahmi Az-Zharfan Azahar

Katanya, program rewang kali ini disertai kira-kira 100 orang sukarelawan termasuk para pelajar dan kakitangan UIAM.

“Kami rasa seronok dapat merealisasikan acara ini. Memasak dengan Tengku Ampuan Pahang memang mengujakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Program rewang itu turut disertai Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Nurul Yasmine Jusri

Seorang lagi ahli kelab, Nurul Yasmine Jusri, 21, berkata, kekangan masa sebagai seorang penuntut tidak menghalangnya untuk bersama-sama menyertai program sukarelawan ini.

“Walaupun penat tetapi usaha ini tidak sia-sia kerana hasilnya akan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Program rewang tahun ini menyediakan empat periuk besar bubur lambuk bagi menyediakan 1,500 pek yang akan diagihkan kepada warga UIAM. – MalaysiaGazette