Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat laporan daripada keluarga pelajar lelaki berusia 17 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan ‘cinta’ dengan guru sekolahnya sendiri.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, laporan diterima pada Disember tahun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes ini.

“Remaja dan guru itu antara semua pihak yang terlibat dalam kes ini sudah dipanggil dan selesai diambil keterangan oleh polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 12 Disember 2023 daripada pengadu wanita tempatan berusia 46 tahun yang merupakan ibu kepada remaja tersebut.

“Dalam laporan itu, wanita itu mendakwa dia melihat kesan kemerahan pada bahagian leher anak lelakinya yang berusia 16 tahun.

“Kejadian dikatakan berlaku selepas mangsa balik dari mengulangkaji pelajaran bersama guru matematik itu.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember lalu jam 4.50 petang yang mana mangsa yang sepatutnya balik ke rumah masih bersama guru matematiknya di perpustakaan.

“Mangsa juga mendakwa telah dipeluk dan dicium oleh guru berkenaan sehingga meninggalkan kesan kemerahan pada leher mangsa,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek merupakan seorang guru wanita berusia 37 tahun manakala mangsa dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan terhadap kesan kemerahan.

“Saya juga mahu menasihati awam agar jangan menimbulkan spekulasi dan menyiarkan berita tidak benar mengenai kejadian ini.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan Seks Terhadap kanak Kanak 2017. Siasatan masih diteruskan dan kita akan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” ujarnya.

Terdahulu, dilaporkan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai saudara kepada mangsa telah meluahkan perasaannya berhubung kes itu di dalam media sosial.

Individu itu menerusi aplikasi X itu memberitahu ibu remaja lelaki berkenaan sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan lanjut.

Walaupun guru yang disiasat dalam kes ini dilaporkan sudah dipindahkan ke sekolah lain namun mereka mendakwa mereka masih berhubung dan pernah bertemu dengan adiknya secara rahsia. – MalaysiaGazette