JOHOR BAHRU – Hidangan kerang bakar bersaiz gergasi mencecah 20 sentimeter menjadi tarikan utama pelanggan untuk singgah ke bazar Ramadan di Taman Suria di sini.
Pasangan suami isteri, Syed Fauzan Syed Idros, 27, dan Salwa Mohd Yamin, 27, telah menjual kerang gergasi sejak 10 tahun lalu.
Selain saiz kerang dan ketam jumbo, sambal resepi ibu mentuanya menjadi rahsia perniagaan mereka terus maju selain menepati cita rasa pelanggan.
“Setiap kali bulan Ramadan kami memang di Bazar Ramadan Taman Suria cuma tapak khemah saja berbeza.
“Alhamdulillah jualan kami tidak lari 20 kilogram (kg) sehari. Memang kerang gergasi ini dari dahulu orang akan cari,” katanya ketika ditemui di Taman Suria hari ini.
Menurut Salwa disebabkan mendapat permintaan tinggi, beliau terpaksa mengambil kerang gergasi dari Sabah dengan purata 200 kg setiap minggu.
“Tetapi disebabkan permintaan tinggi kadang-kadang ada hari yang kami tidak dapat jual kerang gergasi dan ketam kerana kehabisan stok,” akuinya.
Menurut Salwa, selain hidangan ikan, kerang gergasi dan ketam yang dibakar dengan sos sambal istimewa dengan rasa pedas-pedas manis.
“Sehari biasanya kita gunakan tiga tong sambal iaitu lebih kurang 30 kg. Alhamdulillah dalam dua jam kami buka akan habis terjual, ada juga yang membuat tempahan awal,” ujarnya.
Kerang gergasi dijual pada harga RM10 hingga RM100 mengikut saiz.
Bagaimanapun jelas Salwa, menjadi kelaziman beliau dan suami akan memberi diskaun kepada pelanggan tetap mereka.-MalaysiaGazette