Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis juga akan menjalankan siasatan berhubung seorang pegawai kanan yang bertugas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama wang bernilai lebih RM1 juta di Putrajaya semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan maklumat tangkapan itu selepas dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun pihaknya akan menunggu siasatan selesai dijalankan oleh SPRM terlebih dahulu sebelum IPK KL memulakan siasatan ke atas pegawai kanan itu nanti.

“Ya betul, pegawai polis bertugas di sini (IPK KL) ditahan SPRM untuk siasatan. Kita kini tunggu siasatan SPRM selesai dan selepas itu kita akan susul (siasatan oleh IPK KL),” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Allaudeen menambah, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada siasatan SPRM.

Tegas beliau, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap salah laku melibatkan mana-mana pegawai dalam soal pelanggaran integriti.

“Sebarang bentuk tindakan yang akan diambil oleh pihak polis nanti bergantung kepada hasil siasatan yang dilakukan dan diserahkan oleh SPRM nanti dalam kes ini,” ujarnya.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan penahahan pegawai kanan polis di kawasan Putrajaya selepas disyaki cuba melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.

Malah, sejumlah wang bernilai lebih RM1 juta turut ditemui pegawai SPRM hasil serbuan beberapa premis disyaki miliknya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pegawai polis ditahan SPRM, wang lebih RM1 juta ditemui

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast