GEORGE TOWN – Sebanyak 2.3 tan hasil laut dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang bersama sembilan nelayan Myanmar.
Kesemua nelayan itu ditahan dalam dua bot berasingan di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini semalam.
Pemangku Pengarah APMM Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, dua bot nelayan tempatan itu ketika pihak APMM sedang melakukan rondaan menerusi Op Tiris 3.0 pada pukul 6 petang.
Jelasnya, kedua-dua bot berkenaan berada berdekatan antara satu sama lain ketika pemeriksaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat kru warga Myanmar termasuk tekong berada di atas bot pertama manakala lima nelayan Myanmar di bot kedua.
“Kesemua sembilan nelayan Myanmar berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Malah, gagal mengemukakan surat kelulusan menggunakan radio komunikasi di atas bot nelayan tempatan itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Turut dirampas 2,300 kilogram hasil laut dalam dua bot tersebut.
Tambah beliau, kesemua nelayan itu ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette