Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes penggubahan wang haram dan rasuah membabitkan Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan tidak mengetahui siapakah yang memberi arahan kepadanya untuk menjalankan siasatan bagi kes itu.

Malah beliau turut memberitahu mahkamah tidak mengetahui bantuan yang diberikan oleh bekas Ketua Penerangan Bersatu mengenai kes yang diadukan dengan tulisan tangannya sendiri berdasarkan siasatan sebelumnya.

Khusyaini Adhillah Mat Aripin yang bertugas di Bahagian Integriti SPRM Putrajaya ketika diajukan beberapa pertanyaan oleh peguambela yang mewakili tertuduh, Amir Hamzah Arshad dilihat banyak menjawab dia tidak tahu dan tidak setuju.

Amir Hamzah: “Berhubung aduan, kalau saya katakan aduan itu tidak mengatakan atau menyebut nama Datuk Wan Saiful?

Khusyaini Adhillah: “Saya tidak tahu.

Amir Hamzah: “Macam mana kamu tidak tahu, kamu cakap kamu bantu pegawai. Kamu buat aduan pembukaan, adakah aduan tidak ada menyebut nama Wan Saiful?

Khusyaini Adhillah: “Pada peringkat awal, siasatan oleh pegawai berlainan. Saya hanya diarahkan untuk membuka aduan ini”.

Menurut pernyataan bertulis, Khusyaini Adhillah berkata, dia telah menerima maklumat lanjutan mengenai siasatan aduan pada tahun 2022 membabitkan Wan Saiful yang menerima rasuah daripada Syarikat Nepturis Sdn Bhd berjumlah RM6.9 juta sebagai balasan membantu syarikat tersebut.

“Saya hanya diarahkan untuk membuka kertas siasatan sahaja. Saya hanya pembantu kepada pegawai-pegawai yang menjalankan siasatan,” katanya.

Mendengar jawapan itu Amir Hamzah menyanggah Khusyaini Adhillah bahawa dia telah membuat aduan palsu dan berniat jahat terhadap Wan Saiful.

Bagaimanapun, dia menafikannya dan mengatakan tidak tahu.

Sementara itu, saksi kedua yang juga Penolong Pegawai Siasatan SPRM, Muhammad Syakir Zakaria menunjukkan reaksi berbeza dengan Khusyaini Adhillah apabila bersetuju bahawa sesiapa yang membuat aduan mesti mempunyai pengetahuan terhadap aduan yang dibuat.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang berkenaan ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seramai 50 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan dan perbicaraan bagi kes itu yang bermula hari ini baru memanggil tiga orang.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob itu bersambung esok. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast