PETALING JAYA – Malaysia tidak akan memberikan Oman jalan mudah ketika kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam esok.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gom mengakui bahawa Oman yang berkedudukan ke-80 dunia, sebuah pasukan lebih baik, namun berharap bermain di laman sendiri akan membantu pasukannya dalam berhadapan perlawanan yang sukar itu.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, perlawanan esok amat penting dan berharap peminat akan membanjiri stadium, bagi membantu pemain menyaingi kekuatan Red Warrior bagi mendapatkan sekurang-kurangnya seri.
“Jika kita dapat satu mata dengan pasukan ke-80 dunia, ia bagus kerana kita ada dua lagi perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Taiwan. Jika kita dapat tiga mata, itu yang terbaik tetapi jika dapat satu mata ia seperti satu kejayaan, kita perlu dapatkan satu mata,” katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.
Perlawanan esok merupakan peluang untuk Malaysia membalas dendam atas kekalahan 0-2 kepada Oman pada perlawanan Kumpulan D sebelum ini di Muscat, pada Jumaat (waktu Malaysia).
Pan Gon berkata, tidak banyak yang dapat dilakukan dalam tempoh singkat selepas pulang dari Muscat, namun pasukan kejurulatihan telah memberikan kesemunya bagi menyediakan pasukan terkuat.
Sementara itu ketua pasukan Dion Cools berkata, tempoh masa singkat menyukarkan pasukan melakukan pembaikan dari segi positif.
“Seperti yang jurulatih (Pan Gon) katakan, kita hanya ada masa singkat dan pasukan dapat untuk ubah sesuatu, dari pandangan pasukan ia suatu yang bagus, kami boleh bertindak cepat dan tunjukkan sesuatu dan bermain di laman sendiri suatu yang penting untuk kami, harapkan keputusan lebih baik esok, kata pemain pertahanan tengah berusia 28 tahun itu.
Kumpulan D menyaksikan Oman, Kyrgyzstan dan Malaysia berkongsi enam mata menduduki tiga tempat teratas kumpulan dengan jaringan gol yang berbeza, manakala Taiwan di tempat tercorot tanpa sebarang mata.
Selepas Oman, Malaysia yang menduduki tempat ke-32 dunia akan bertemu Kyrgyzstan (104) di Bishkek pada 6 Jun dan menutup perlawanan kumpulan bertemu Taiwan (153) di Bukit Jalil pada 11 Jun. – Bernama