Tuminah Kadi

MELAKA – Pencemaran bau masam daripada hampas tempurung kelapa sawit di lokasi penyimpanan sementara di Tanjung Kling di sini dijangka selesai sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, syarikat berkenaan berusaha untuk mengatasi masalah yang menghantui penduduk Kampung Balik Bukit sejak akhir Januari lalu.

Menurutnya, hasil perbincangan, mereka memohon diberikan masa untuk memindahkan kira-kira 2,000 tan hampas sawit berkenaan ke tapak baru sebelum ia dieksport ke luar negara melalui Jeti Tanjung Bruas.

“Pada perbincangan awal, pihak syarikat minta tempoh sehingga 15 April ini untuk pindahkan hampas itu tapi dua hari lepas saya sudah minta mereka percepatkan dan harap dapat selesai sebelum Aidilfitri.

“Semalam pun saya sudah lawat tapak dan lihat pencemaran bau ini berlaku apabila hampas berkenaan basah terkena hujan menyebabkan bau masam tersebar di kawasan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata, tapak berkenaan hanya menjadi tempat pengumpulan hampas sawit terbabit yang dibawa dari Pahang dan Negeri Sembilan sebelum ia dieksport ke luar negara termasuklah bagi menghasilkan tilam.

“Walaupun hampas ini mendapat permintaan yang tinggi di luar negara namun kita perlu mengutamakan keselamatan dan keselesaan penduduk supaya ianya tidak mengganggu kehidupan seharian mereka,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan surat dihantar syarikat yang menyewa tapak berkenan kepada syarikat kerajaan negeri menjelaskan hampas berkenaan tidak berbahaya atau memudaratkan kesihatan sehingga membawa penyakit kronik kepada penduduk.

Jelasnya, hampas itu terhasil melalui proses pengupasan buat sawit dan merupakan produk semula jadi yang mempunyai bau tersendiri namun tidak memudaratkan kesihatan. – MalaysiaGazette