Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran mengenai bahana jenayah judi online yang sudah memerangkap pemimpin kanan badan keselamatan di beberapa negara jiran antaranya Indonesia dan Thailand.

Walaupun jenayah judi dalam talian itu masih mampu dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau meminta institusi keselamatan utama dalam negara tidak mengambil remeh terhadapnya.

“Saya sedar bahawa PDRM masih mampu mengawal jenayah judi online di negara kita dengan menggunakan segala tindakan penguatkuasaan dan undang-undang yang diperuntukkan namun ia bukan sesuatu yang perlu dipandang remeh dan ringan.

“Jika lihat di Indonesia beberapa bulan lalu, ada tokoh kanan polis terbabit dalam jenayah judi dalam talian dan dua hari lalu di Thailand pula ketua dan timbalan polis terpaksa berundur kerana juga terbabit dalam judi online,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Istiadat Perasmian Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama suami, Datuk Zamani Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri, Datin Seri Norhayati Musa; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, beliau mengeluarkan amaran itu bukan berniat mahu menakut-nakutkan pemimpin tertinggi PDRM sebaliknya mahu terus memerangi jenayah judi online itu secara lebih holistik.

“Saya beri amaran bukan mahu takutkan KPN (Tan Sri Razarudin Husain) tapi alhamdullilah, Malaysia masih dalam tahap membanggakan tapi tidak bermakna ia perkara yang mudah dalam zaman teknologi dunia digital dan siber ini.

“Jenayah komersial ini adalah sesuatu ancaman baharu dan lebih canggih yang perlu diambil dan ditangani secara serius demi memelihara keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette