SECARA idealnya, masjid dan surau sepatutnya boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira keupayaan fizikal setiap individu. Banyak aspek yang perlu diperhalusi oleh perekabentuk profesional dalam pembinaan masjid terutama bagi keterangkuman orang kurang upaya (OKU) kerana setiap jenis ketidakupayaan mempunyai keperluan berbeza dalam menggunakan fasiliti ibadah ini. OKU yang mempunyai masalah mobiliti amat menitikberatkan persekitaran yang mudah diakses bagi membolehkan mereka berdikari dan bergerak bebas. Namun, kajian penulis mendapati bahawa akses di masjid dan surau tidak selalunya mesra OKU kerana terdapat banyak halangan fizikal. Halangan-halangan ini dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi dan penindasan sosial kerana menafikan hak OKU untuk ke rumah ibadat.
Ramai OKU, khususnya pengguna kerusi roda, memilih untuk solat di rumah sendiri memandangkan kesukaran yang perlu mereka tempuhi untuk solat ketika melakukan aktiviti luar. Antara kesukaran tersebut termasuklah untuk menggunakan tandas dan ketika berwuduk. Walaupun sebilangan OKU sanggup dibantu, namun mereka merasakan sepatutnya dapat berdikari untuk melakukan ibadah. Halangan ke pintu masuk utama Terdapat pintu masuk ke masjid dan surau yang hanya boleh diakses dengan menaiki tangga. Tangga merupakan halangan utama untuk OKU berkerusi roda dan mereka yang bermasalah mobiliti untuk memasuki bangunan. Sesetengah rumah ibadat mempunyai beberapa anak tangga dan ada yang mencecah melebihi sepuluh anak tangga.
Akses bertangga
Tanpa kemudahan tanjakan (ramp) atau lif, kebanyakan pengguna kerusi roda berasa tidak selamat dan tidak selesa apabila orang lain perlu mengangkat mereka ke aras berbeza. Perasaan sebegini juga antara penyebab ramai OKU cenderung untuk memilih jalan selamat dengan berkurung di rumah daripada mempertaruhkan keselamatan mereka atau mendedahkan diri mereka kepada bahaya di luar. Laluan alternatif boleh disediakan sebagai laluan yang lebih selesa, mudah dan selamat untuk OKU. Namun, penunjuk arah ke laluan alternatif ini perlu mudah dilihat untuk mengarahkan pengunjung ke pintu masuk yang boleh diakses dan mesra OKU.
Halangan di ruang wuduk
Pembatas (kerb) disediakan di kebanyakan kawasan wuduk untuk mengelakkan air membasahi seluruh kawasan lantai, tetapi ia menjadi penghalang pengguna kerusi roda daripada merapati paip air. Jarak paip air yang jauh dari capaian pengguna kerusi roda kerana kewujudan pembatas yang lebar Terdapat individu yang lebih gemar mengambil wuduk di dalam tandas yang mempunyai paip air dan lantainya tiada pembatas. Namun, ramai umat Islam tidak selesa mengambil wuduk di dalam tandas kerana ada kemungkinan kewujudan percikan najis yang dikhuatiri mengganggu kesucian wuduk. Reka bentuk ruang wuduk yang lebih baik adalah apabila pengguna boleh mencapai air dengan mudah
untuk membersihkan anggota wuduk. Saliran air atau longkang boleh diletakkan di bawah paras lantai untuk meminimumkan percikan air dan mengelakkan limpahan tanpa perlu menggunakan pembatas. Kemudahan tandas Terdapat tandas OKU yang mempunyai paip air serta palang pegangan (grab bar) yang agak jauh dari capaian. Lokasi fasiliti yang tidak sesuai di dalam tandas boleh mendatangkan bahaya dan risiko jatuh. Ada juga tandas OKU yang ideal rekabentuk dan susunaturnya, tetapi disalahgunakan sebagai stor janitor.
Penyalahgunaan tandas OKU sebagai stor janitor
Perekabentuk atau penyedia fasiliti perlu pengetahuan ergonomik dan antropometrik bagi meniminumkan kesukaran untuk pengguna kerusi roda berpindah ke tempat duduk tandas dan memudahkan capaian. Kesedaran bahawa tandas OKU amat penting bagi pengguna OKU, dapat mengelakkan dari kemudahan ini dijadikan stor janitor atau digunakan oleh pengguna bukan OKU.
Akses ke ruang solat
Terdapat rungutan dari OKU bahawa segelintir pihak pengurusan masjid enggan membenarkan mereka membawa kerusi roda ke dalam masjid atas alasan isu kebersihan dan kesucian. Sesetengah pengurusan masjid ada menyediakan kerusi roda sendiri bagi kegunaan dalaman. Namun, tidak semua kondisi kesihatan pengguna sesuai untuk menggunakan kerusi roda yang disediakan pihak masjid tersebut. Tambahan pula, terdapat pengguna yang perlu dibantu untuk berpindah kerusi roda. Ada masjid yang menyediakan stokin kerusi roda bagi tujuan kebersihan dan demi menjaga kesucian masjid, jadi pengguna tidak perlu berpindah ke kerusi roda lain. Pengenalan kerusi roda untuk kegunaan dalaman dan penyediaan stokin kerusi roda ini dilihat sebagai satu inisiatif yang baik serta mengiktiraf keperluan pengguna berkerusi roda.
Capaian fasiliti
Di dalam masjid dan surau ada disediakan kemudahan seperti telekung, kain sarong, sejadah dan kitab-kitab yang boleh digunakan oleh orang ramai. Namun, terdapat juga rak atau gantungan kemudahan tersebut yang disediakan agak tinggi dari capaian pengguna kerusi roda.
Persekitaran aras jalan
Selain isu untuk memasuki dan menggunakan kemudahan di masjid dan surau, OKU juga menghadapi kesukaran untuk sampai ke fasiliti keagamaan ini di mana mereka biasanya menghadapi halangan dalam perjalanan ke masjid dan surau. Terdapat elemen lanskap pada ruang pejalan kaki seperti bollard dan kerusi rehat yang menjadi halangan kepada OKU untuk meneruskan perjalanan.
Halangan lanskap di laluan pejalan kaki
OKU juga berdepan dengan halangan daripada pengguna yang meletakkan kenderaan mereka di atas laluan pejalan kaki. Terdapat inisiatif untuk mengelakkan orang awam meletakkan kenderaan dengan memperkenalkan pagar OKU (OKU gate). Reka bentuk laluan ini sepatutnya membolehkan akses kerusi roda di samping menghalang kenderaan lain daripada menyalahgunakan laluan pejalan kaki. Namun
begitu, pagar OKU dilihat sebagai penghalang bagi sesetengah OKU. Pengguna kerusi roda elektrik dengan saiz yang lebih besar berbanding kerusi roda tipikal merasakan laluan yang disediakan tersebut terlalu sempit untuk lolos.
Kesimpulan
Halangan fizikal atau persekitaran, halangan sikap dan halangan institusi, seperti dasar pengurusan yang menyekat individu tertentu untuk memasuki mana-mana masjid atau surau, boleh menyebabkan OKU diketepikan dan ketinggalan daripada sebarang aktiviti yang ditawarkan di kemudahan keagamaan ini. Bagi menggalakkan kesaksamaan dalam mengupayakan individu untuk beribadah, pengwujudan satu
model masjid dan surau mesra OKU sangat diperlukan dalam era madani ini. Model ini dapat direalisasikan jika OKU diberi peluang untuk mengambil bahagian dan diiktiraf dalam proses perancangan dan rekabentuk, kerana mereka adalah individu yang berpengalaman menghadapi
halangan secara langsung. Kolaborasi yang jitu di antara pihak perancang dan perekabentuk profesional dengan warga OKU perlu diperkemaskan demi mencapai persekitaran yang lebih inklusif di Malaysia.
Sr Dr Hikmah Kamarudin
Pensyarah Kanan
Pengajian Harta Tanah dan Ukur Bangunan
Kolej Pengajian Alam Bina
Universiti Teknologi MARA, Shah Alam