Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan program-program perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) bagi memastikan sasaran Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk menyediakan 500,000 unit rumah tercapai.

Timbalan menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, antara program lain adalah Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Kediaman SPNB oleh SPNB.

“Termasuk jugalah Program Perumahan PR1MA oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA),” katanya menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PN) pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Tuan Ibrahim sebelum itu meminta supaya KPKT menyatakan usaha untuk memastikan jumlah pembinaan rumah mampu milik meningkat terutama di kawasan luar bandar bagi memenuhi permintaan.

Ia bagi mengambil kira laporan Indeks dan Survei Hartanah IQI Suku Keempat Malaysia 2023 harga jualan rumah dan sewa akan meningkat lebih tinggi tahun ini.

Dalam pada itu, Aiman Athirah memaklumkan, KPKT sentiasa melihat peluang pembangunan projek RMM baharu melalui kerjasama dengan kerajaan negeri atau pemaju swasta.

“Kerajaan negeri juga turut menyediakan perumahan mampu milik di setiap negeri melalui program perumahan mampu milik masing-masing. Program perumahan yang dibangunkan kebiasaannya telah mengambilkira kumpulan sasar serta keperluan perumahan di negeri tersebut.

“Kerajaan turut menggalakkan pemaju swasta untuk membangunkan RMM melalui pemberian insentif kepada pemaju yang terlibat,” tambahnya.

Sebelum ini dilaporkan, sehingga 30 September tahun lalu, sebanyak 274,258 unit RMM telah siap dibina dan dalam fasa pembinaan.

Jumlah berkenaan menyumbang kepada 54.8 peratus daripada sasaran RMKe-12. – MalaysiaGazette