Mohamed Usuf (tengah) menunjukkan dadah MDMA dalam pek minuman perisa coklat yang dipercayai dijual untuk pengunjung pusat hiburan sekitar Pulau Pinang yang dirampas pihaknya dalam serbuan di Tanjong Tokong

GEORGE TOWN – Kegiatan tiga rakan termasuk seorang wanita aktif menjual dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) untuk kegunaan pengunjung pusat hiburan di negeri ini terbongkar selepas mereka ditahan polis semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 30 tahun yang merupakan tukang masak, pembantu dapur serta pelayan sebuah restoran itu diberkas jam 11 malam di Tanjong Tokong di sini.

Mohamed Usuf (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya merampas hampir 1.8 kilogram MDMA, ekstasi dan syabu yang bernilai keseluruhan RM27,940.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mereka aktif dalam pengedaran dadah itu sejak Januari lalu dan dadah yang dirampas untuk kegunaan seramai 500 penagih.

“Siasatan mendapati kesemua MDMA itu dibuat dalam bentuk minuman perisa coklat dan ia dijual pada harga RM300 sebungkus.

“Setiap satu bungkusan pek minuman dadah itu dikatakan untuk kegunaan seorang pengunjung pusat hiburan dan ia mampu membuatkan si peminum ‘goyang kepala’ dalam tempoh empat jam.

Satu pek minuman dadah perisa coklat itu dijual pada harga RM300.

“Kita tidak menolak kemungkinan MDMA itu dijual kepada pengunjung pusat hiburan tertentu susulan harganya mahal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambah Mohamed Usuf, semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“Bagaimanapun, seorang daripada mereka didapati positif empat jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine, benzo dan ketamin.

“Kesemua suspek itu direman selama tujuh hari sehingga 1 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Pelucuthakan Harta 1988 yang mana polis menyita sebuah kenderaan. – MalaysiaGazette