Anggota bomba membawa mangsa yang cedera selepas dirempuh gajah liar - Gambar ihsan bomba.

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) cedera selepas dirempuh gajah di Hutan Felda Cerul, Cheneh, Kemaman, Terengganu semalam.

Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Suriati Ariffin memaklumkan, pihaknya menerima maklumat daripada pegawai Perhilitan yang mangsa diserang ketika membuat kerja-kerja pemantauan hidupan liar bersama lapan orang anggota  lain.

“Kami menerima panggilan kecemasan pukul 2.06 petang. Seramai 14 orang anggota daripada BBP Cheneh terlibat dalam operasi berkenaan,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan.

“Mangsa kemudiannya dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette