Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran supaya memberi ruang kepada pelajar untuk bebas dalam berkarya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan hasrat itu itu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir agar perkara itu diberikan perhatian.

Katanya, menimba ilmu itu bermaksud melatih seseorang agar menjadi lebih kritis dan memiliki tahap pemikiran yang lebih tinggi.

“Tapi, ini harus ada kebijaksanaan dan kesabaran kerana kalau dunia ini terlalu mengongkong karya akan terbantut.

“Berilah saguhati dan hadiah sastera seperti pengalaman saya boria (persembahan tradisonal)di Pulau Pinang, semasa saya dibesarkan dahulu, muzik yang hidup dan segar (boria) tetapi mesejnya sangat kritis sama ada kepada masyarakat ataupun budaya atau kepimpinan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Fadhlina dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, boria di Pulau Pinang telah menjadi propaganda hingga akhirnya kini menukar kepada sesuatu yang membosankan.

Katanya, muzik itu tidak lagi dapat menghasilkan satu alunan tradisional yang sangat indah dan menasihati sang penguasa dan juga rakyat.

Justeru katanya, perkara seumpama itu harus diberikan perhatian agar ruang berfikir dan berkarya tidak menerima nasib seperti boria Pulau Pinang dan disebabkan itu ia perlu diberikan kebebasan.

Sementara itu menyentuh mengenai kepentingan membaca, Perdana Menteri berkata, ia merupakan sesuatu yang telah lama dibicarakan sejak dahulu lagi.

Katanya, negara perlu melahirkan insan yang mempunyai keyakinan, ilmu serta nilai dan akhlak yang memiliki kebolehan berfikir dalam tempoh tiga minit bagi membuat keputusan.

“Jadi, harus ada usaha yang lebih. Seperti yang pernah saya gesa kepada Dewan Bahasa supaya menggalakkan anak-anak membaca. Caranya bukan sahaja memberikan buku tetapi, sesuatu yang lebih klasik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast