Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief, Jismi Johari bercakap pada sidang media mengenai Ops Ihsan Humanitarian Aid to Gaza di Duta Nusantara Clubhouse, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 02 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ops Ihsan berharap gencatan senjata secara berkekalan dapat dilaksanakan selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu.

Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Johari turut berharap keputusan tersebut juga membolehkan pintu masuk ke Gaza dibuka supaya bantuan kemanusiaan dibawa masuk tanpa kawalan Israel.

“Pihak kami tetap berpendirian bahawa gencatan senjata kekal patut direalisasikan dan dimuktamadkan selepas tempoh akhir draft resolusi yang diluluskan semalam.

“Kami mengesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB memastikan resolusi tersebut dikuatkuasakan dan dilaksanakan serta merta dan berkesan.

“Perkara yang paling penting ketika ini adalah pembukaan pintu sempadan secara menyeluruh supaya bantuan kemanusiaan dapat masuk ke Gaza tanpa sekatan dan intimidasi daripada pihak rejim Zionis,” katanya dalam kenyataan.

Jasmi berkata, Ops Ihsan tidak akan menamatkan penghantaran bantuan kemanusiaan meskipun pusat agihan bantuan makanan Ops Ihsan di Kem Al Nusierat dibom oleh rejim zionis sehingga mengorbankan lapan nyawa pada 15 Mac lepas.

Sehingga kini sejumlah 33,000 kotak makanan berjumlah 400 tan di bawah projek Kerau Ihsan telah disalurkan ke dalam Gaza.

Sejak November tahun lalu pelbagai kategori barangan berjaya dibawa masuk ke Gaza melalui beberapa siri penghantaran yang digerakkan secara kolektif oleh badan bukan kerajaan di bawah Ops Ihsan.

Sumbangan termasuk 25,000 unit peralatan perubatan seberat 30 tan untuk kegunaan Hospital Al Shifa hasil kerjasama dengan BeVital, Medics World Wide dan Kementerian Kesihatan Gaza.

Ops Ihsan melalui Pelan Atur Tindak di bawah Misi Kelangsungan Kehidupan akan terus menggerakkan pelaksanaan Projek Kerau Ihsan yang melibatkan penyediaan dan penyaluran sekurang-kurangnya 20,000 kotak makanan setiap bulan.

Projek Payung Ihsan yang melibatkan sumbangan khemah untuk kediaman sementara dan Projek Dulang Ihsan yang melibatkan penyediaan dan penyaluran makanan sedia dimakan dan bekalan air bersih.

Perancangan seterusnya termasuk gerak kerja penghantaran 100 kontena dari Kaherah yang dikelola oleh Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).-MalaysiaGazette