PADU
Masyarakat setempat mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Batu 8 Tambun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi akan mengadakan satu sesi taklimat kepada wakil kerajaan Sarawak berkenaan isu keselamatan dan perlindungan data Pangkalan Data Utama (PADU) dalam masa terdekat.

Menterinya Rafizi Ramli berkata, Kementerian Ekonomi komited dalam menjawab segala persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri Sarawak.

Katanya, sistem PADU dibangunkan dengan mengintegrasi pelbagai sumber data pentadbiran daripada lebih 400 agensi sektor awam.

Ini termasuk kerajaan negeri dan tempatan, serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan kerajaan bagi bagi membentuk data yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah.

Ujar beliau, sepanjang proses pembangunan PADU, pelan risiko dan perlindungan keselamatan, serta melindungi data terperingkat daripada diceroboh dan bocor, sentiasa diberi keutamaan oleh semua pihak.

“Pasukan pembangunan sistem PADU sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi yang menguruskan keselamatan siber dan privasi data negara seperti Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Kementerian Komunikasi.

“Sehingga kini, tiada isu kebocoran maklumat dilaporkan walaupun terdapat 2 hingga 2.3 juta kali cubaan serangan ke atas PADU dalam tempoh satu minggu. Pembangunan PADU juga mematuhi piawaian antarabangsa dan prinsip-prinsip amalan terbaik yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau sekali lagi menegaskan, sistem PADU dibangunkan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam sedia ada tanpa melibatkan lantikan daripada perunding luar.

Keputusan itu menurut beliau, adalah bagi mengurangkan risiko kebocoran maklumat memandangkan pihak luar tidak mempunyai akses langsung kepada PADU.

“Bagi memastikan integriti data dan kebocoran data tidak dilakukan oleh pegawai yang mempunyai akses kepada data, penilaian tahap integriti pegawai telah diambil kira melalui proses tapisan keselamatan oleh CGSO.

“Akses kepada data hanya dibenarkan kepada pegawai yang dilantik dan terhad kepada peranan masing-masing sahaja. Aturan ini merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard pengurusan sistem PADU,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Rafizi mengumumkan kadar pendaftaran PADU meningkat secara mendadak sepanjang minggu lalu.

Katanya, setakat 11.59 malam, 24 Mac lalu, bilangan pendaftaran meningkat kepada 7.7 juta, berbanding 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac 2024.- MalaysiaGazette