Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Sungai Besar, Sallehuddin Mohd Iskan bercakap kepada media tempatan ketika di Kampung Jawa, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 MAC 2024.

SUNGAI BESAR – Kemerosotan hasil padi di sini dari lapan kepada tiga tan metrik semusim sejak tujuh tahun didakwa berpunca daripada keadaan palung sawah usang dan tidak pernah diselenggara lebih 30 tahun lalu.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Sungai Besar, Sallehuddin Mohd Iskan berkata, keadaan itu memaksa petani menyedut air buangan dari gelung sawah untuk mengairkan bendang.

Beliau berkata, walaupun pesawah mengetahui air buangan itu tercemar dan tidak sesuai untuk tanaman padi, namun mereka tiada pilihan lain kerana palung sedia ada bocor.

“Di Sungai Besar ini, masalahnya bertimpa-timpa, ditambah pula dengan keadaan palung sudah uzur, terlalu lama tidak diselenggara dengan baik.

“Ini mungkin menyebabkan bekalan air tidak sampai ke bendang, terutamanya di kawasan hujung.

“Para pesawah akan pam air dari parit buangan, mungkin inilah antara punca penyebab berlakunya bekalan air tidak bersih.

“Saya rasa pihak berwajib kena tengok juga, petani banyak buat aduan palung tidak diselenggara sejak dibina, mungkin 30 atau 40 tahun dahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette, semalam.

Sallehuddin juga berkata, infrastruktur yang uzur itu didakwa menjejaskan kawasan penanaman padi di sini seluas lebih 6,000 hektar tanah.

“Kawasan sebelah barat Sungai Besar selalu ada masalah bekalan air yang tidak cukup ke sawah-sawah.

“Apabila musim kemarau macam sekarang, kawasan itu lambat terima bekalan air, apabila orang lain sudah dapat, baru mereka akan dapat bekalan air,” katanya.

Selain itu, katanya setiap kali musim menuai, pesawah tidak dapat mengeluarkan hasil dek kerana kawasan bendang sentiasa basah.

“Ini menyebabkan keadaan sawah menjadi lembab dan padi tidak boleh dituai, ini yang berlaku dalam dua musim yang lepas.

“Bila musim hujan, ditambah pula dengan keadaan palong yang tidak terurus, menyebabkan padi sentiasa berair, keadaan struktur tanah menjadi tidak kuat, mesin padi tidak boleh nak masuk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agensi kerajaan memandang serius perkara itu dan ia boleh menjejaskan pengeluaran padi serta mengancam jaminan keselamatan makanan negara.

“Kerajaan sudah keluarkan banyak modal untuk buat palung, tapi kalau tidak diselenggara, maka palung itu tidak berfungsi dengan baik dan tidak dapat membantu para petani untuk menghasilkan padi lebih berkualiti.

“Saya rasa pihak berwajib seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dan Jabatan Pertanian maklum perkara ini, mereka setiap hari ada di kawasan.

“Agensi kerajaan perlu buat sesuatu kerana masalah ini sudah berpanjangan berpuluh tahun lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast