Nor Hisham.

BUTTERWORTH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan peningkatan panggilan kecemasan mendadak berhubung kejadian kebakaran kawasan lapangan dan hutan susulan cuaca panas melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ia membabitkan tiga negeri iaitu Johor, Sabah serta utara Sarawak menjelang tempoh pengakhiran Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hujung bulan ini.

“Kalau minggu lepas kita tengok dia berada di paras 240, 750 tapi minggu ini ia meningkat kepada 270, 280 sekali gus berlaku peningkatan mendadak.

“Pendekatan kita terutamanya kawasan-kawasan di Sabah yang ada masalah air itu kita fokus buat water bombing sebab susah akses dan api itu tidak melibatkan tanah gambut.

“Tapi bagi kawasan gambut seperti Johor, Pahang dan juga Sarawak, kita fokus kepada kaedah total flooding atau pembanjiran kawasan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Pulau Pinang di sini.

Tambah Nor Hisham, pihaknya menggunakan  fasiliti yang sedia ada di lokasi untuk setiap kes pembakaran yang diterima JBPM.

“Sehubungan itu, kita nasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kebakaran tidak terkawal kerana api lebih mudah merebak ketika ini,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah selsius berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dan Sabah sehingga April.

Keadaan itu yang dialami ketika ini di kebanyakan kawasan di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.

Ia susulan permulaan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula 29 Mac dan berterusan hingga Mei, menandakan berakhirnya monsun timur laut yang berlaku sejak 11 November lalu. – MalaysiaGazette