GEORGE TOWN – Sebuah syarikat firma lif dan syarikat kontraktor penyelenggaraan lif didenda RM81,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal memastikan penyediaan aspek keselamatan tempat kerja mengikut piawaian kepada para pekerjanya.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (JKKPPP) dalam satu kenyataanberkata, hukuman itu diputuskan Hakim Mazdi Abdul Hamid selepas Syarikat Gene Engineering (M) Sdn. Bhd. selaku majikan utama dan syarikat firma lif, SML Engineering Sdn. Bhd. masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapi.
Syarikat Gene Engineering didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu sebagai majikan telah gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya semasa bekerja serta gagal memastikan kerja penyelenggaraan bagi lif penumpang di Midlands Park Centre & Midlands Court sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas pekerjanya pada 26 Disember tahun lalu.
Kesalahan mengikut seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Manakala Syarikat SML Engineering didakwa di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan juga Peraturan 31(2) Peraturan-Peraturan (Lif Elektrik Penumpang-Penumpang dan Barang-Barang) Kilang dan Jentera 1970, Akta Kilang dan Jentera 1967.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Abdul Rahim Sabri dan Encik Wan Saharizat Wan Mahmood manakala tiada peguam mewakili kedua-dua tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM40,000 kepada Syarikat Gene Engineering manakala denda RM41,000 kepada syarikat SML Engineering.
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/2023/12/26/pekerja-penyelenggara-maut-tersepit-ketika-baiki-lif/
Media pada 26 Disember lalu melaporkan, seorang pekerja teknikal, R. Tinesh Kumar, 28, maut apabila kepalanya tersepit pada pintu lif ketika menyelenggara fasiliti itu di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burma di sini. – MalaysiaGazette