SPR
Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh
60 hari dari tarikh kekosongan sebagai mana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, Bab 5 Fasal (5) Perkara LXX.

“Sehubungan itu, satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor akan diadakan pada 4 April 2024 (Khamis). Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Abdul Ghani Salleh,
Pengerusi SPR,” katanya menerusi kenyataan, hari ini..

Menurutnya, tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ
Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar
Pemilih yang akan digunakan serta persiapan-persiapan lain bagi
melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincang dan
diputuskan.

Tambah beliau, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat has tersebut. – MalaysiaGazette