Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR: Pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan tidak pasti mengenai status pemilikan benefisial di sebalik syarikat Nepturis Sdn Bhd, Mahkamah Sesyen di sini hari ini, diberitahu.

Pegawai Pendaftar SSM, Harshini a/p Radhakrishnan, 34, berkata, beliau menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan carian maklumat syarikat Nepturis Sdn Bhd dan tidak mengetahui siapakah pemilik benefisial syarikat tersebut disebalik lembaga pengarah dan pemegang saham yang diisytiharkan kepada SSM.

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan SSM, sebarang informasi pemilik benefisial perlu dikemukakan kepada SSM setiap tahun melalui Penyata Tahunan, katanya dalam kenyataan saksi pada hari kedua perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Wan Saifulruddin Wan Jan.

Harshini berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela, Amer Hamzah Arshad.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Beliau juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Sementara itu, seorang lagi saksi Penolong Jurutera Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Siti Nooraishah Afzan Zainal Abidin, 36, berkata, beliau tidak dapat mengesahkan status bumiputera syarikat Nepturis memandangkan ia bukan di bidang kuasa beliau untuk menentusahkan perkara tersebut.

Siti Nooraishah berkata, dia hanya diarahkan untuk mengeluarkan Surat Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor serta Certificate of Archievement atas nama Nepturis Sdn Bhd atas permohonan SPRM.

“Permohonan pendaftaran syarikat ini dinilai dalam tujuh skop dan memperoleh penarafan empat bintang serta gred pendaftaran G7,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan penarafan bintang, syarikat tersebut telah mengemukakan dokumen yang lengkap kepada CIDB sewaktu mengemukan permohonan dan memiliki modal yang tinggi untuk melayakkan gred G7 ketika disoal balas.

Pada 21 Februari tahun lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Perbicaraan akan disambung semula pada 29 April. – MalaysiaGazette