Wakil UMS antara peserta mesyuarat konsortium pertama bagi pembangunan polisi “Open Science Asia”

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara lapan universiti di peringkat antarabangsa yang terlibat dalam membangunkan polisi “Open Science Asia” baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, projek tersebut merupakan sebuah kolaborasi antarabangsa di antara Malaysia, India, Netherlands, Finland serta Slovenia, dibiayai oleh dana dari Eramus+ Kesatuan Eropah berjumlah 779,000 euro.

“Objektif utama projek ini untuk membangunkan polisi dan dasar pelaksanaan sains terbuka bagi membolehkan perkongsian pengetahuan hasil penyelidikan dan inovasi di peringkat global.

“Projek ini selaras dengan lima fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi terutamanya dalam pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta sejajar dengan matlamat UMS untuk memacu keterampilan penyelidikan universiti di persada antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, aspek utama yang ditekankan adalah pembangunan polisi pelaksanaan Open Science dan penyediaan infostruktur serta infrastruktur bagi membolehkan akses kepada para penyelidik dalam perkongsian maklumat secara beretika terutamanya dari sudut perkongsian dan penggunaan data-data penyelidikan.

“Ini dijangka dapat memacu proses penghasilan teknologi dan inovasi baharu dalam penyelesaian masalah, ” katanya dalam mesyuarat konsortium pertama bagi pembangunan polisi “Open Science Asia” yang berlangsung di Mandal’s Narsee Monjee Institute of Management Studies (NMIMS) Mumbai, India.

Turut berlangsung satu forum sebagai langkah pendedahan kepada komuniti berkenaan Open Science menerusi perkongsian dari beberapa pakar dan industri dalam bidang berkenaan.

Ini termasuklah ucaptama oleh Emeritus Prof Dr Man Mohan Sharma dari Institute of Chemical Technology India, dan Ketua Pegawai Digital UMS, Profesor Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim. MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast