JOHOR BAHRU – Depot Imigresen Pekan Nenas telah melaksanakan pemindahan seramai 60 orang tahanan ke negara asal iaitu Indonesia melalui Terminal Feri Stulang Laut dekat sini baru-baru ini.
Kesemua tahanan yang dihantar pulang terdiri daripada 46 lelaki dan selebihnya wanita.
Pembiayaan tiket bagi penghantaran pulang kesemua mereka dibiayai sepenuhnya oleh tahanan sendiri.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menerusi kenyataan berkata, pemindahan yang diketuai oleh seorang pegawai kanan dan turut melibatkan seramai 15 orang pegawai berlainan pangkat bagi tujuan iring kawal tahanan.
Kesemua aset jabatan, sebuah buah lori dan dua buah van telah digerakkan bagi memastikan kelancaran perjalanan sepanjang proses pemindahan tahanan dilaksanakan.
Proses itu mendapat kerjasama dari pihak Kedutaan Besar Indonesia di negeri itu.
Penghantaran pulang dibuat setelah kesemua tahanan telah selesai menjalani hukuman daripada pelbagai kesalahan termasuk kesalahan di bawah Akta Imigresen 1969/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Program pemindahan tahanan merupakan aktiviti utama Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas yang dilakukan secara berterusan oleh JIM Negeri Johor.
Ia dalam usaha untuk memastikan semua tahanan yang telah selesai menjalani hukuman segera dihantar pulang. -MalaysiaGazette