KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mengesyorkan kepada Jabatan Imigresen untuk menggunakan kamera badan kepada pegawai-pegawainya.
Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata, syor berkenaan bagi penambahbaikan dari segi pentadbiran melibatkan pengendalian piawai Notis Penolakan Masuk (NTL) ke negara ini.
“Syor supaya Jabatan Imigresen kemas kini cara mereka kerana perubahan cara melancong dan sekarang tidak ada tiket fizikal dan semuanya dalam telefon bimbit sahaja.
“Malah tidak perlu menunjukkan perolehan wang tunai yang banyak kerana perubahan kepada digital, mereka ada kad kredit dan tidak juga perlu ada tempahan hotel kerana ada AirBnB,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
William Leong (PH-Selayang) berkata, syor berkenaan melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang mana sekiranya melibatkan pihak ketiga peluang untuk rasuah akan berlaku.
Malah katanya, penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen perlu dilaksanakan segera bagi mengukuhkan lagi integriti pasukan penguat kuasa berkenaan.
Justeru itu, dakwaan berlakunya ketirisan dan amalan rasuah membabitkan anggota dan pegawai jabatan itu juga merupakan perkara serius serta perlu ditangani segera bagi mengelakkan ia terus membarah.
“Selain itu, Artikel 5.9 dan 5.9.1 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam pindaan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), selaras garis panduan antarabangsa dalam ICAO.
“Syarikat penerbangan perlu mengendalikan prosedur NTL tanpa membabitkan pihak ketiga kerana tidak selari amalan antarabangsa dan undang-undang sedia ada, selain menyukarkan pemantauan agensi kerajaan dan memungkinkan timbulnya rasuah.
“Tatacara pengendalian piawai serta syarat kemasukan perlu diperjelaskan JIM, sebelum memasuki Malaysia dan maklumat ini perlu disalurkan kepada seluruh agensi pelancongan.
“Tatacara pengendalian piawai prosedur NTL ini perlu dilihat bersama kerna membabitkan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),” katanya.
Ahlinya, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut berkata, sekiranya syor ini dkuatkuasakan, maka imej pegawai Jabatan Imigresen dapat dijaga sekiranya berlaku sebarang kemungkinan di masa akan datang.
“Ini bukan nak ganggu JIM, tapi kita nak tambah baik prosedur yang sedia ada supaya dapat jaga imej negara dan bertindak adil kepada pegawai Imigresen.
“Kita perlu beri keyakinan dan kita cadangkan mereka pakai kamera badan supaya ia adil kepada pegawai Imigresen juga,” katanya dalam sidang media sama. – MalaysiaGazette