Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR – Sebarang kemasukan baharu oleh syarikat Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) dan syarikat pemaju tenaga boleh baharu (TBB) lain perlu berdasarkan perancangan dan pembangunan penjanaan bekalan elektrik yang dipersetujui oleh kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu perlu diperhalusi secara teliti oleh Kabinet dengan mengambil kira semua aspek ekonomi, teknikal dan kawal selia.

“‘Offtaker TBB bagi syarikat pelabur ini akan ditetapkan berdasar jenis program TBB yang disertai pihak syarikat. Umpamanya sekiranya syarikat menyertai program Large Scale Solar.

“Maka, offtaker’ tenaga adalah pihak utiliti atau TNB. Sekiranya pelabur menyertai program solar di bumbung, maka offtaker tenaga di bawah program ini adalah pengguna elektrik sendiri dan sekiranya syarikat menyertai program pihak ketiga kelak.

“Maka, pengguna korporat yang mempunyai ikatan kontrak dengan pemaju adalah offtaker bagi TBB yang dijana,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah berkata demikian menjawab pertanyaan lisan pertama Dewan Rakyat dari Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang ingin tahu apakah rancangan Kementerian berkenaan dengan syarikat UAE, Masdar, yang telah menandatangani pelan pelaksanaan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) untuk pembangunan sehingga 10 GW projek TBB di Malaysia.

Jelas Fadillah lagi, pendekatan berkenaan akan memastikan kemasukkan sumber solar yang bersifat intermittent, tidak akan menjejaskan keupayaan dan keselamatan sistem dan infrastruktur grid.

Dalam masa sama, ia menyediakan peluang dan persaingan yang adil serta saksama di samping menjaga kepentingan pemain industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) tempatan.

Pada sesi sama, Fadillah berkata usaha sama antara MIDA dan MASDAR merupakan aturan komersial, dan perancangan serta pelaksanaan usaha sama tersebut akan ditentukan oleh kedua-dua pihak berkaitan.

Walau bagaimanapun, beliau menambah kerajaan berpegang kepada ketetapan dasar bahawa kelulusan bagi pembangunan projek TBB di negara ini perlulah dilaksanakan secara telus, adil dan berdasarkan ketetapan regulatori semasa.

Untuk rekod, Oktober tahun lalu Masdar, syarikat tenaga bersih Emiriah Arab Bersatu telah menandatangani memorandum persefahaman dengan MIDA dan bersedia melabur US$8 bilion untuk sehingga 10GW projek tenaga boleh diperbaharui. – MalaysiaGazette