Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Fitch Ratings menjangkakan penanda aras harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia akan melemah menjelang suku kedua 2024 berikutan lambakan bekalan minyak sayuran di peringkat global.

Dalam laporan terkini, suku pertama 2024 Asian Crude Palm Oil Monitor, agensi penarafan itu berkata, keadaan cuaca sederhana serta kos baja yang lebih rendah akan menyokong pertumbuhan keluaran dan mengekalkan tekanan ke atas harga dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Secara keseluruhan, andaian harga penanda aras bagi MSM untuk 2024 dan 2025 ialah US$700 setiap tan. (US$1=RM4.73)

“Kami melihat dua risiko kenaikan harga utama untuk harga MSM. Pertama, keadaan cuaca buruk akibat El Nino atau La Nina yang belum menunjukkan tanda-tanda berkurangan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Kedua, nisbah campuran mandatori biodiesel yang lebih tinggi di Indonesia yang akan meningkatkan penggunaan MSM dengan ketara,” katanya.

Fitch Ratings berkata penanda aras harga MSM telah naik sepanjang suku pertama 2024 sehingga melangkaui US$900 setiap tan menjelang Mac 2024 daripada bawah paras US$800 setiap tan pada Disember 2023, disebabkan inventori minyak sawit yang agak rendah dalam negara pengeluar utama seperti Indonesia dan Malaysia selain kebimbangan pasaran terhadap pengeluaran minyak sayuran global. – BERNAMA