KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memberi sokongan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap seorang pegawai kanan polis yang ditahan bersama wang tunai lebih RM1 juta kerana disyaki melindungi aktiviti haram di ibu negara.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih belum menerima sebarang maklumbalas terkini perkembangan siasatan kes tersebut daripada SPRM.
Namun beliau mengulangi ketegasannya kepada para pegawai dan anggota dalam PDRM agar mengubah diri dan sentiasa berintegriti dalam melaksanakan tugas atau akan diubah.
“Sepertimana saya pernah sebutkan dalam Tiktok viral saya, u please change or you will be changed (kamu tolong mengubah atau akan diubah).
“Sekarang aku ulang lagi, kamu sila ubah (tingkah laku) atau akan dirantai (Now i will say You please change or you will be chained),” katanya ketika diminta mengulas mengenai kes itu dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berpandangan ia adalah isu yang serius kerana melibatkan seorang pegawai dari JSJ.
Beliau juga konsisten dengan pandangan, pendapat serta pendekatannya dalam soal salah laku membabitkan pegawai dan anggota dalam PDRM.
“Saya membiarkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan menyokong penuh SPRM untuk bertindak,” tegasnya lagi.-Malaysiagazette