Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) ragu-ragu dengan tindakan Kerajaan Perpaduan yang membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (RUU) (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bahru) berkata, pihaknya merasakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat perkenan Majlis Raja-raja bagi tujuan itu.

“Tindakan kerajaan yang gagal untuk menyelesaikan bacaan kali kedua RUU ini menunjukkan dua perkara iaitu kerajaan tidak serius untuk melakukan pindaan ini, walau atas apa alasan pun.

“Keduanya, kami dapat menghidu kerajaan gagal mematuhi kehendak sebelum mereka membawa kepada pindaan hari ini.

“Persoalan yang kami bangkitkan adalah adakah cadangan pindaan ini mendapat perkenan Majlis Raja-raja? Dibawa Perkara 159 fasal 5, sesuatu RUU yang melibatkan kewarganegaraan mestilah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Dakwaan itu dibuat Takiyuddin bersama-sama Ahli-Ahli Parlimen PN yang lain sejurus Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selesai membaca pindaan (RUU) (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua.

Dakwa Takiyuddin lagi, disebabkan itu kerajaan tidak meneruskan perbahasan yang sepatutnya mengambil tempat selepas bacaan kali kedua dibuat Saifuddin Nasution.

“Kami mengatakan demikian berasaskan kepada taklimat yang diberikan kepada semua pihak termasuk ahli Parlimen yang mengatakan mereka (kerajaan) telah mengadakan libat urus dan membentangkan cadangan ini kepada Majlis Raja-raja pada 26 Oktober dan kali kedua pada 17 dan 24 Februari 2024.

“Tetapi masa perkenan ini dikatakan diperoleh oleh Majlis Raja-Raja ia mengandungi lapan pindaan tapi apabila datang pada hari ini, hanya tujuh pindaan sahaja.

“Kami beranggapan cadangan yang terbaharu masih belum mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja,” katanya lagi.

Terdahulu, sesi perbahasan untuk cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung undang-undang kewarganegaraan ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat yang seterusnya iaitu pada Jun depan.

Ia selepas Saifuddin Nasution membentang RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kedua hari ini.

Pada Isnin lalu, Saifuddin membentangkan RUU itu untuk bacaan pertama dan berkata bacaan kedua dan ketiga juga akan dibuat pada sesi kali ini, yang berakhir hari ini.

Pembentangan itu dibuat selepas kerajaan setuju untuk menggugurkan pindaan yang menafikan kewarganegaraan automatik untuk bayi terabai.

Kerajaan juga menggugurkan pindaan yang memberi kesan kepada orang asli yang tidak berstatus kewarganegaraan. – MalaysiaGazette