Abd Rahman (tiga dari kiri) mengacau dodol bersama Peladangmuda di PPK Bernam Jaya pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya, Selangor telah menganjurkan pelbagai program pada bulan Ramadan.

Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Bernam Jaya, Datuk Dr. Abd Rahman Bakri berkata, program itu merupakan satu tradisi yang dianjurkan dengan penglibatan bersama ahli PPK dan masyarakat setempat.

“Pada waktu pagi, kami telah menyampaikan Sumbangan Wakalah Zakat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada 58 orang penerima asnaf.

“Seterusnya, Program Tadarus PeladangNita diadakan dan diikuti dengan Majlis Iftar serta solat secara berjemaah,” katanya yang juga merupakan Ahli Jemaah NAFAS.

Beliau turut memaklumkan Program Kacau Dodol sebanyak tiga kawah turut dianjurkan dan hasil dodol yang telah siap itu akan diagihkan kepada penduduk setempat.

“Program ini melibatkan Peladang Muda PPK Bernam Jaya dan juga Peladang Muda Peringkat Pertubuhan Peladang Negeri Selangor yang akan diagihkan kepada penduduk setempat,” jelasnya lagi.

Selain itu, PPK Bernam Jaya juga menjalankan program tahunan mereka iaitu Program Bubur Lambuk Percuma.

Menurut Abd Rahman, tahun ini adalah tahun ke-22 program itu dan bubur lambuk yang telah siap akan diedarkan secara percuma kepada penduduk setempat pada setiap Selasa dan Rabu bulan Ramadan ini.

“Program seperti ini bagus untuk merapatkan hubungan antara Pertubuhan Peladang, ahli-ahli Peladang dan juga masyarakat setempat sekaligus mengimarahkan lagi bulan Ramadan,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette