KOTA KINABALU – Kebakaran di tapak pelupusan Kayu Madang di sini berjaya dipadamkan sebanyak 77.5 peratus sehingga hari keempat semalam, kata Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Ordine Gilu.
Beliau berkata, JBPM pada hari kelima ini menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran di kawasan seluas 10,287 meter persegi dan bagi memudahkan operasi kawasan itu dipecahkan kepada empat sektor.
Sektor C katanya telah dipadamkan sepenuhnya manakala sektor D pada tahap 90 peratus, sektor A (80 peratus) dan sektor B (40 peratus).
“Kebakaran melibatkan sisa pembuangan tayar terpakai di tapak pelupusan sampah berkenaan yang berkeluasan 45,700 meter persegi.
“Operasi pemadaman hari keempat semalam menggunakan peralatan Fix Monitor Fire Fighting bersama jentera High Performance Pump Module dengan mengambil sumber air terbuka dan pemadaman menggunakan sebanyak 14 tong buih pemadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata, 41 pegawai serta anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran serta dibantu beberapa BBP lain antaranya dari Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah, sedang bertungkus lumus menjalankan operasi itu.
Ordine berkata, pihaknya turut menggunakan tanah untuk menimbus kawasan terlibat dengan 200 penghantaran dengan lori dibuat pada hari pertama, 406 penghantaran pada hari kedua dan 294 pada hari ketiga. – Bernama