KUALA LUMPUR – Pasangan beregu lelaki negara seharusnya memanfaatkan peluang mencuri mata buat Malaysia sewaktu berdepan jaguh Eropah dan juara edisi 2016, Denmark, dalam saingan Kumpulan D Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, dijadual 28 April-5 Mei ini.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Malaysia berpotensi untuk mendapatkan mata dari kem beregu memandangkan barisan perseorangan lelaki dijangka berdepan laluan mencabar, seandainya Denmark menurunkan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dan juara Terbuka Malaysia 2024, Anders Antonsen di Chengdu.
“Perseorangan Denmark kuat, mereka juga memiliki Rasmus Gemke (ranking ke-28) serta Magnus Johannesen (ranking ke-34), saya tidak tahu (siapa bakal bermain).
“Beregu harus ambil mata namun bergantung kepada strategi kita pada hari perlawanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
“Persembahan perseorangan kita sebenarnya juga agak baik, sekiranya Ng Tze Yong mampu balik ke kondisi asal dia boleh memberikan tentangan.
“Lee Zii Jia pula akhir-akhir ini dapat atasi Ka Long (menang dua aksi terakhir). Pilihan perseorangan ketiga kita juga baik antaranya Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe,” katanya.
Tze Yong ketika ini menjalani proses pemulihan daripada pembedahan belakang badan baru-baru ini.