Fatehah di reruai inainya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Minat dalam bidang seni sejak kecil mendorong pengukir inai, Siti Fateha binti Abdullah untuk menjadikan bakatnya itu sebagai sumber pendapatan sejak empat tahun lalu.

Sebagai seorang pengukir inai, waniat berusia 22 tahun itu bertanggungjawab untuk melengkapkan penggayaan pada tangan dan kaki gadis, sama ada pada hari istimewa seperti perkahwinan atau hari perayaan.

Untuk menghasilkan ukiran yang indah, kemahiran dan usaha perlulah diasah kerana kesilapan yang kecil boleh ‘mencacatkan’ hasil ukiran di tangan pelanggan.

Fatehah telah bergiat aktif sebagai pengukir inai sejak di bangku sekolah lagi dan bertekad untuk terus mengembangkan potensi dalam bidang ini selepas tamat zaman persekolahan.

Fatehah tidak menafikan bahawa sama seperti bidang yang lain, bidang ini memerlukan kesungguhan lebih-lebih lagi apabila bekerja sendiri.

“Disebabkan ini perniagaan sendiri, saya perlu lebih peka dengan penyediaan bahan, kerja mengukir dan membina hubungan dengan pelanggan.

“Rezeki inai ini banyak membantu saya, terutamanya pada musim perkahwinan dan raya apabila ramai mahu kelihatan cantik dengan ukiran bunga di tangan,” katanya lagi.

Ditanya tentang sambutan untuk raya tahun ini, Fatehah melahirkan rasa kesyukuran kerana perniagaannya masih mendapat sambutan ramai.

“Pada musim perayaan ini, saya boleh mendapat pendapatan harian mencecah RM1,000 pada hujung minggu. Rata-rata pelanggan mengatakan mereka berpuas hati dengan khidmat yang ditawarkan saya.

Justeru menurutnya, kemahiran  amat berguna untuk wanita dan yakin sekiranya dilakukan dengan konsisten, hasil pendapatan diperoleh amat berbaloi.

“Yang penting adalah semangat untuk terus menghasilkan ukiran inai cantik dan kreatif,” katanya – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast