GEORGE TOWN – Sebuah bot nelayan dikendalikan tekong serta kru warga Thailand ditahan selepas didapati menangkap ikan di zon larangan di 14.0 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini semalam.
Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bot nelayan kelas C berkenaan dikesan ketika pihaknya melakukan rondaan rutin Op Khas Pagar Laut pada jam 3 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Thailand berusia antara 29 hingga 75 tahun dan kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.
“Susulan itu, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut merampas 1.5 tan hasil laut dalam bot berkenaan. – MalaysiaGazette