Muta Harah menunjukkan rumput laut Merambong berdekatan Forest City yang merupakan habitat 12 spesis rumput laut.

JOHOR BAHRU – Country Garden Pacific View Sdn. Bhd. (CGPV), pemaju Forest City komited  memastikan keseimbangan ekosistem antara pembangunan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

Untuk itu, CGPV mewujudkan kerjasama strategik dengan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) khususnya dalam memelihara  ekosistem rumput laut di kawasan berhampiran.

Beting Merambong seluas 26.3 hektar itu merupakan kawasan tumbuhan rumput laut terbesar di Semenanjung Malaysia malah kawasan itu akan muncul pada permukaan apabila keadaan air laut surut.

Profesor di Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, UPM, Prof. Dr. Muta Harah Zakaria berkata, ia merupakan koordinator projek – Pemantauan dan Penilaian, Penyesuaian dan Pemulihan Ekosistem Rumput Laut Muara Sungai Pulai bagi Forest City.

Pasukan itu turut dibantu Dr. Japar Sidik Bujang dan Dr. Nur Leena Wong Wai Sin dari UPM.

Selain menempatkan kawasan pertumbuhan rumput laut, Beting Merambong itu juga merupakan habitat kepada lebih 100 flora dan fauna.

“Terdapat 17 spesies rumput laut yang telah dikenalpasti berada di perairan Malaysia, dan uniknya di Beting Merambong, 12 daripadanya hidup dengan subur di sini,” katanya dalam kenyataan. 

Spesies rumput laut yang ada di sini adalah Enhalus acoroides, Thalassia hemprichii, Halophila major, Halophila minor, Halophila ovalis, Halophila spinulosa, Halophila decipiens, Halophila beccarii, Halophila nipponica, Halodule pinifolia, Halodule uninervis dan Cymodocea serrulata.

Muta Harah berkata, antara hidupan marin yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat  tempat pencarian makanan  termasuklah dugong, pelbagai jenis hidupan cangkerang, siput, timun laut, kuda laut dan pelbagai spesies ikan.

Beliau yang juga Ketua Projek Program Penanaman dan Pemulihan Rumput Laut di Beting Merambong berkata, pihaknya menghargai komitmen ditunjukkan CGPV dalam memulihkan kawasan Beting Merambong itu.

“Memang kawasan ini sedikit terjejas pada awalnya namun dengan kerjasama erat antara CGPV dan juga UPM, kami berjaya memulihara kawasan Beting Merambong ini secara berperingkat bermula sejak tahun 2015.

“Kerjasama ini masih lagi diteruskan dan kami yakin kewujudan Beting Merambong akan turut memberi manfaat kepada pembangunan Forest City yang sedang pesat berkembang ketika ini,” jelasnya. 

Kewujudan kawasan pembangunan hartanah Forest City dan juga Beting Merambong di satu kawasan yang sama membuktikan infrastruktur moden dan kelestarian alam sekitar dapat bergerak secara seiring.

Sejak pelancaran Tindakan Perlindungan Alam Sekitar Forest City pada 2019, Forest City menyediakan pelbagai platform interaktif komunikasi perlindungan alam sekitar interaktif untuk pekerja, penduduk, komuniti tempatan dan sukarelawan alam sekitar.

Sementara itu, dengan perancangan mewujudkan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Forest City komited untuk terus meneroka keseimbangan keharmonian antara pembangunan dan perlindungan alam semula jadi.

Pada masa sama, ia juga akan menggalakkan Forest City dan para pelabur untuk memberi lebih perhatian kepada faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ini termasuk  memperkenalkan piawaian dan petunjuk pembangunan mampan sekali gus meningkatkan usaha tersebut di Forest City.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast