OPS Samar yang dilakukan KPDN Johor di Bazar Ramadan Taman Suria mendapati peniaga di situ menetapkan harga makanan terkawal sekaligus menolak dakwaan sesetengah pengguna yang menyatakan peniaga di bazar berkenaan menjual harga makanan terlalu tinggi.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menafikan dakwaan peniaga di Bazar Ramadan Taman Suria di sini menjual makanan pada harga melampau.

Ia termasuk dakwaan mengatakan harga burger dan roti John dijual sehingga RM30 dan RM40.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, perkara tersebut disahkan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan menerusi Ops Samar di bazar tersebut.

“Pemeriksaan Ops Samar melibatkan lapan orang Pegawai Penguat Kuasa KPDN Johor ini mendapati tiada gerai yang menjual Burger dan Roti John yang mencecah harga RM30.00 sehingga RM40.00.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat dua gerai yang menjual burger dalam lingkungan harga RM6 sehingga RM10 manakala terdapat lima gerai yang diperiksa menjual Roti John dengan harga RM6 sehingga RM15.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada caj plastik yang dikenakan oleh peniaga di Bazar Ramadhan ini sepertimana yang diviralkan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun satu kes kompaun telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, pelanggaran subperenggan 2(1) iaitu gagal meletakkan label, tag atau tanda harga pada barang yang menunjukkan harga tunai sama ada untuk jualan atau sebagai contoh jualan di premis itu.

“Sebagai rekod, sehingga 27 Mac 2024, KPDN Johor telah melaksanakan sebanyak 727 pemeriksaan gerai di Bazar Ramadhan melalui pelaksanaan Ops Pantau yang bermula dari 12 Mac lalu dan berjaya menghasilkan 3 kes kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor ingin menasihatkan peniaga-peniaga khususnya di negeri Johor agar mematuhi segala undang – undang perniagaan yang telah ditetapkan oleh kementerian,” jelas beliau.

Selasa lalu tular dalam Tik Tok, pengguna mendakwa harga makanan di bazar itu mahal dan sehingga harga burger mencapai RM30, roti John RM40 dan ikan bakar sebesar tapak tangan RM40 selain beg plastik dikenakan caj 50 sen.

Mereka yang berkongsi pengalaman membeli di bazar itu mendakwa harga makanan menjadi mahal kerana peniaga menyasarkan pelanggan dari Singapura dan bukan pelanggan tempatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast