KUANTAN – Pahang komited meluaskan industri keterjaminan makanan dengan mengadakan kerjasama bersama agensi yang berpotensi mengusahakan tanah di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menggalakan kolaborasi bersama agensi berbanding individu kerana terbukti keberhasilannya.
“Maknanya kalau kita ada tanah kita akan bagi pada agensi seperti PASFA (Pertubuhan Peladang Negeri Pahang) yang yang boleh mengusahakan tanah tersebut.
“Kita tidak mahu bukan agensi, sebab kalau bagi individu dan dia tidak usahakan, ia rugi. Macam PASFA dia akan usahakan, kalau tanam sawit boleh eksport sawit atau getah atau tanaman,” katanya selepas majlis Penyerahan Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong kepada peserta E-Kasih, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 336 peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), masing-masing menerima RM5,306 setiap peserta dengan membabitkan jumlah keseluruhan bayaran berjumlah RM1.78 juta bagi pembeyaran berkahir tahun 2022.
Menurut Wan Rosdy, pemilihan organisasi yang tepat dan berkemampuan penting bagi merealisaikan hasrat menerokai tanah sebagai sumber yang terhad untuk dipelbagaikan.
Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PASFA, Datuk Zamri Yaakob berkata, bayaran tersebut adalah hasil usahasama antara Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan kelapa Sawit PPRT Bukit Gayong, Muadzam Shah, di Rompin.
Projek usahasama tersebut melibatkan penanaman kelapa sawit seluas 1.47 hektar dan ternakan lembu fidlot sebanyak 287 ekor. – MalaysiaGazette