JOHOR BAHRU – Penduduk di Kampung Kangkar Tebrau rasa rimas mereka apabila kampung mereka kini didakwa dimonopoli etnik pelarian Rohingya sejak bertahun lalu.
Jelas penduduk, walaupun masalah itu telah dilaporkan kepada pihak Jabatan Imigresen dan polis negeri itu namun ia tiada kesudahan.
Kehadiran kelompok besar etnik pelarian Rohingya di Kampung Kangkar Tebrau ternyata menimbulkan kegusaran dan merimaskan lebih 200 keluarga penduduk asal kampung terbabit yang terletak di tengah bandar raya.
Pesara, Abd Razak Tarmidi, 63, berkata, kehadiran etnik itu bagai cendawan tumbuh selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jumlah mereka semakin bertambah dengan kini dianggarkan terdapat lebih 1,000 orang.
“Sudahlah besar kepala, sikap pengotor mereka selain membiarkan anak kecil mereka bermain sesuka hati tanpa pengawasan dibimbangi mendatangkan masalah kepada penduduk tempatan.
“Kebanyakan etnik ini tinggal di rumah taman yang terletak di bahagian belakang kampung iaitu di jalan Nyior Satu, Nyior Dua, Nyior Tiga dan Nyior Enam.
“Dalam satu rumah mereka itu hingga ada empat buah keluarga. Penduduk tempatan pernah menegur mereka mengenai sikap yang kita kurang senang tetapi sebaliknya berlaku, dia panggil satu kampung dia.
“Saya setiap tahun buat bancian penduduk untuk menyalurkan bantuan pada Ramadan dan Syawal, jadi saya tahu bilangan mereka semakin ramai dan bertambah setiap tahun,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Mohd Sabani Amir, 42 berkata, masalah kebersihan menjadi isu utama kerana kebanyakkan Rohingya di kawasan ini yang mengumpul besi buruk sebagai pekerjaan mereka.
Mereka dikatakan akan melonggokkan besi buruk di tepi-tepi rumah dan ia berisiko menjadi sarang pembiakan nyamuk.
“Kita marah tapi mereka buat lagi. Paling bagus akan ada hari dia, mereka ini buat pasar malam sendiri sepanjang jalan kampung.
“Kadang-kadang saya rasa kita ini di Malaysia atau di mana?,” soalnya.
Sebelum PKP, katanya, kawasan ini menjadi penempatan Bangladesh dan Nepal, bagaimanapun warga asing berkenaan mempunyai permit.
“Rohingya ini lain, makin lama makin ramai, aduan sudah banyak kali dibuat oleh Ketua Kampung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), PDRM, Jabatan Imigresen dan wakil rakyat tetapi tiada tindakan.
“Kami betul-betul kesal apabila suara kita sebagai penduduk tempatan tak didengari,” katanya.
Sementara itu Juruteknik, Mohd Saifuddin Mohd Nasir, 37, pula menyifatkan penempatan Rohingya di Kampung Kangkar Tebrau seolah-olah dilindungi.
Katanya, apa yang menjadi persoalan bagaimana etnik Rohingya boleh mempunyai kereta mewah seperti Honda, Toyota Hilux, Ford dan BMW sedangkan mereka datang sebagai pelarian.
“Maaflah cakap.Bila kita tegur dan hampir bergaduh tiba-tiba pihak polis datang. Tapi tiada apa tindakan.
“Sebaliknya kita pula yang diberi peringatan oleh pihak polis supaya jangan buat kacau. Ini semua seolah-olah macam terbalik. Sepatutnya kami yang dilindungi,” dakwanya.
Tinjauan MalaysiaGazette dibantu penduduk kampung turut mendapati, golongan itu turut membina surau berstuktur rumah untuk etnik mereka beribadat.
Selain itu, terdapat juga sebuah madrasah dilengkapi kipas dan peralatan bacaan yang lain.
Dalam pada itu, kawasan di sekitar penempatan itu juga dilihat terlalu kotor apabila sampah dibuang merata-rata sehingga dipenuhi langau.
Justeru, penduduk tempatan di situ juga merayu agar semua pihak berkuasa terlibat agar bertindak dengan telus bagi memastikan kehidupan penduduk tempatan terbela.-MalaysiaGazette