Penguat kuasa KPDN memeriksa premis pakaian yang dikesan melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga di Bazar Aidilfitri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh malam tadi.

MELAKA – Padah tidak meletakkan tanda harga dan mengunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan, dua peniaga bazar Aidilfitri di sini dikompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri malam tadi.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, masing-masing peniaga pakaian dan buah di Bazar Aidilfitri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh itu dikompaun RM200 dalam Ops Samar bermula 9 malam.

“Tindakan kompaun terpaksa diambil selepas lebih dua minggu kita menjalankan kempen advokasi kesedaran menerusi Ops Pantau sejak 1 Ramadan lalu.

Norena (tengah) mengetuai Ops Samar di Bazar Aidilfitri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh malam tadi.

“Bermula malam ini (tadi), kita akan menggiatkan usaha Ops Samar ini sehingga akhir Ramadan untuk mengesan mana-mana  peniaga yang melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai Ops Samar di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Norena berkata, tindakan kompaun terhadap dua peniaga berkenana dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, memasuki hari ke 18 Ramadan, pihaknya hanya menerima beberapa aduan mengenai kenaikan harga jualan di bazar Ramadan namun ianya masih munasabah.

Norena (kanan) menyantuni peniaga yang mematuhi undang-undang meletakkan tanda harga

“Itu pun hanya berlaku satu dua bazar sahaja dalam daerah Melaka Tengah dengan kenaikan sekitar 10 peratus manakala tiada laporan diterima bagi daerah Jasin dan Alor Gajah.

“Kita dapati harga juadah itu masih munasabah berbanding negeri lain malah Melaka boleh disifatkan antara negeri terendah berlaku kenaikan harga makanan,” katanya. – MalaysiaGazette