Sukarelawan UKM yang terlibat dalam Alumni Care 11: Santun dan Sumbang Sahur Gelandangan.

KUALA LUMPUR – Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia turun padang menyantuni dan memberi bantuan makanan serta keperluan harian kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, kelmarin.

Program yang dijalankan di bawah Flagship Alumni Care iaitu Alumni Care 11: Santun dan Sumbang Sahur Gelandangan telah menghimpunkan kira-kira 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada alumni dan warga UKM serta komuniti setempat, memberi sumbangan kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan sekitar kawasan Chow Kit Kuala Lumpur.

Pengurus Program, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor berkata, program yang dirancang dalam tempoh tiga minggu itu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari alumni, warga UKM dan orang perseorangan yang telah bermurah hati menyumbang kepada program ini.

“Program ini kami rancang dan uruskan kurang dari tiga minggu sebab ada permintaan daripada alumni yang nak bekerjasama. Kemudian kami terus mulakan gerak kerja dengan mengumpul sumbangan hampir mencecah RM16,000 dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Tambah beliau, sumbangan bakul makanan yang disediakan terdiri daripada makanan kering sebanyak 70 kotak yang telah disumbangkan kepada 70 penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur manakala 150 pek makanan sahur serta pek makanan kering dan barangan berkeperluan seperti lampin pakai buang bayi, susu tepung bayi, ubat dan berus gigi diberikan kepada 150 gelandangan di sekitar kawasan Chow Kit Kuala Lumpur secara bersasar.

“Alhamdulillah, untuk program yang pertama kali diadakan ini, kami dapat menyantuni seramai 220 orang gelandangan. Kami sangat berbesar hati dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang memberi sumbangan di luar jangkaan kami,” ujar beliau. – MalaysiaGazette