KUALA LUMPUR – Berbaki dua hari lagi sebelum pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan ditutup tengah malam esok.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengingatkan mereka yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian bagi mengelakkan mereka tercicir daripada mendapat subsidi dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
Menurut beliau, kadar pendaftaran bagi sistem berpusat itu meningkat dengan mendadak dan angka mengampiri 10 juta pengguna menjelang tengah malam tadi.
Rafizi berkata, pertambahan bilangan mereka yang mendaftar PADU menunjukkan ramai sedar kepentingan berbuat demikian bagi mengelakkan mereka tercicir daripada sebarang subsidi dan bantuan kerajaan.
“Ruh ruh ruh, ceh ceh ceh, daftar PADU bro, nanti tercicir. Kadar pendaftaran dan pengemaskinian PADU naik mendadak sejak dua hari lepas.
“Setakat 11:59 malam, 29 Mac 2024, lebih 9.8 juta rakyat Malaysia berjaya daftar dan kemas kini maklumat mereka di PADU. Mungkin makin ramai sedar dan risau akan keciciran.
“Belum terlambat lagi untuk daftar. Layari www.padu.gov.my atau pergi ke kaunter PADU berhampiran kawasan anda,” katanya melalui kenyataan di media sosial.
Sebelum ini media melaporkan, Rafizi berkata, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melanjutkan proses pendaftaran serta kemas kini sistem PADU yang akan berakhir esok.
Rafizi berkata, pihaknya perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi.
“Setakat saya boleh katakan kita tiada rancangan untuk lanjutkan daripada 31 Mac. Perdana Menteri sudah umumkan pada belanjawan lepas bahawa tahun ini kita akan lakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar. Jadi kalau saya ada ruang, sudah tentu saya berbesar hati untuk lanjutkan.
“Cuma kalau kita lanjutkan (tempoh pendaftaran dan kemas kini) bermakna kita juga menolak pelaksanaan subsidi bersasar ke depan yang mana setiap satu bulan penangguhan, kerajaan menanggung sekurangnya RM2 bilion bagi subsidi minyak (petrol) pukal,” katanya pada sesi soal jawab pada Sesi Libat Urus Bersama Menteri Ekonomi berkaitan PADU pada 23 Mac lalu.
PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.-MalaysiaGazette