BATU PAHAT – “Asalamualaikum Bella, kami pulangkan sebahagian anggota awak semula,” kata Mohd Noor Omar ketika menguruskan pengebumian sebahagian tulang milik Allahyarham Mila Sharmila Samsusah sebentar tadi.
Kakak Allahyarham, Norhisham Samsusah berkata, rangka tulang adiknya itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya kira-kira 1.28 tengah hari tadi.
Katanya, keputusan DNA tulang itu dimaklumkan kepada keluarganya oleh pihak polis semalam.
Norhisham yang mesra disapa Ayu berkata, dia dan keluarga menuntut rangka tersebut di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail jam 9.30 pagi dan membawa tulang tersebut keluar sejam kemudian.
Dengan pengesahan itu, terdapat tiga lagi anggota badan jenazah yang masih belum ditemui.
“Alhamdulilallah kami sekeluarga tetap bersyukur dan kami berharap sebahagian lagi anggota dapat ditemui.
“Setakat ini tangan kanan dan kiri termasuk anggota tulang bahagian belakang masih belum ditemui. Saya percaya kalau dicari pasti jumpa.
“Saya yakin anggota yang belum ditemui itu berada di kawasan sama (di lokasi kejadian),” katanya ketika bercakap dengan wartawan MalaysiaGazette.
Menurutnya, urusan pengebumian tersebut hanya dihadiri ahli keluarganya sahaja.
“Pagi tadi sempat kami buat bacaan Yassin untuk arwah,” katanya sebak.
Jelasnya, anggota badan yang dikebumikan hari ini telah ditemui orang awam ketika membersihkan kawasan berkenaan dan memaklumkannya kepada pihak polis.
Enam ketul tulang ditemukan berhampiran rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dua bulan lalu.
Tulang itu ditemui pemandu jengkaut berhampiran lokasi penemuan rangka Bella yang mati dibunuh teman lelakinya pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu. – MalaysiaGazette