Pengurus Pemuliharaan MPOGCF, Encik Ahmad Shahdan bin Kasim (paling kanan) menziarahi kakitangan PERHILITAN, Encik Sa'ari bin Hashim yang cedera akibat diserang gajah liar di Hospital Kemaman, Terengganu, semalam.

KUALA LUMPUR  – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bersimpati dengan situasi kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Sa’ari Hashim yang cedera akibat diserang gajah liar di Hutan Felda Cerul, Cheneh, Kemaman, Terengganu pada 25 Mac lalu.

Sehubungan itu, MPOGCF dalam satu kenyataan mengumumkan sumbangan sebanyak RM1,000 disalurkan kepada mangsa yang sedang dirawat di Hospital Kemaman.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurus Konservasi MPOGCF, Ahmad Shahdan Kasim semalam.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari sewaktu Unit Tangkapan Gajah (UTG) PERHILITAN Terengganu seramai lapan orang termasuk mangsa sedang melaksanakan operasi pemasangan kolar gajah.

Program pemasangan kolar gajah itu merupakan kerjasama antara MPOGCF dengan TDM Plantation dan PERHILITAN.

Ia bertujuan memantau pergerakan kawanan gajah liar di kawasan itu sebagai kaedah amaran awal kepada ladang-ladang kelapa sawit di kawasan tersebut.

Semasa operasi berkenaan, seekor gajah liar telah berjaya dipasangkan kolar satelit dan dilepaskan semula namun ketika berjalan ke arah kenderaan, salah seekor gajah liar daripada kawanan gajah berkenaan tiba-tiba muncul dan menyerang anggota-anggota PERHILITAN dari belakang mereka dan merempuh mangsa.

Ahli-ahli UTG yang lain berjaya menghalau gajah liar tersebut dan segera menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat Cheneh, Kemaman untuk bantuan.

Mangsa seterusnya dibawa keluar dari kawasan hutan tersebut dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette