Rosalam (dua dari kiri) dan Richard bertukar dokumen perjanjian penyelidikan yang berlangsung di Galeri Majlis Bangunan Canselori UMS baru-baru ini.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengembangkan peranan sebagai sebuah pusat kajian ilmu dengan memeterai perjanjian penyelidikan (RA) bersama Institute of Development Studies (IDS) Sabah.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, RA itu melibatkan penyelidikan bertajuk ‘Kajian Dinamika, Persepsi dan Aspirasi Politik Belia Undi-18 Sabah’ yang akan dijalankan oleh para penyelidik Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS.

Katanya, penyelidikan yang dibiaya oleh IDS tersebut akan meneroka, mengenal pasti dan memahami dinamika, persepsi dan aspirasi politik yang cenderung mempengaruhi trend, corak dan pola pengundian belia ‘UNDI18’ di Sabah.

“Keadaan ini berikutan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada 16 Julai 2019 yang mengangkat “Undi18” iaitu kempen pemerkasaan amalan demokrasi melalui keterangkuman penglibatan politik dalam kalangan belia telah berjaya melayakkan belia berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi dan menjadi calon dalam pilihan raya.

“Pindaan terbabit membawa kepada penurunan umur hak mengundi sekali gus mencetus pelbagai pandangan dan persoalan tentang dinamika, persepsi dan aspirasi politik yang mempengaruhi kecenderungan, kiblat, pilihan dan keputusan politik yang bakal mewarnai trend serta pola pengundian golongan ini.

“Oleh itu, kajian ini dicadangkan akan menilai trend terkini sekali gus membantu IDS selaku think tanker Kerajaan Negeri Sabah menelusuri aspek-aspek ini kelak berdasarkan data-data yang diperoleh di bahagian Pantai Barat, Kudat, Sandakan,
Tawau dan pedalaman negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik IDS, Richard T. Koh berkata, kerjasama pihaknya dengan UMS memberi manfaat besar kepada pembangunan negeri Sabah.

Katanya, sebagai badan pemikir negeri, IDS berazam memastikan dasar-dasar yang dibentuk mengambil kira kepentingan terbaik negeri serta komuniti dan ekonomi rakyat.

“Kerjasama kukuh antara IDS dan UMS telah membawa kejayaan yang signifikan dalam penyelidikan dan pembangunan di Sabah. Kedua-dua entiti ini berkongsi komitmen yang sama dalam memajukan ilmu pengetahuan dan memberikan impak
positif kepada masyarakat Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast