PETALING JAYA – Jumlah rakyat yang mendaftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU) meningkat kepada 10.8 juta atau lebih kurang 48.3 peratus, sehingga tengah hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, beliau optimis pendaftaran pada hari ini yang merupakan terakhir akan mencecah 50 peratus.
Katanya, meskipun sukar untuk mendapat jumlah pendaftaran 100 peratus namun separuh daripadanya merupakan pencapaian yang baik.
“Seperti yang kita lihat banyak inisiatif baru memang kita sukar cakap 100 peratus jadi sasaran kita kalau 50 peratus adalah satu pencapaian baiklah.
“Kita tahu memberikan perkara baru kepada orang ramai untuk kemas kini data, tanpa melihat kesan secara langsung bukan mudah sebab kita kata kita analisis dahulu, buat penilitian ikut kawasan, sebab kita lihat semua orang.
“Jadi keputusan mengenai apa yang nak dilaksanakan termasuk bantuan adalah berdasarkan maklumat. Pastinya bila kita nampak program berikutnya akan lebih mudah,” katanya ketika hadir Program Pendaftaran Padu di Flat Sri Aman Seksyen 22, di sini, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.
Antara negeri yang mencatatkan peratusan yang mencecah 50 peratus adalah Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan manakala Johor dan Selangor masih dalam lingkungan 40 peratus.
Mohd Uzir berkata, selepas tamat tempoh pendataran PADU malam ini analisis maklumat akan dilakukan sebelum tindakan selanjut diambil.
Jelas beliau, kemas kini selanjutnya akan ditentukan oleh kerajaan pada masa akan datang.
“Pastinya yang telah mengemas kini, kemas kini berikutnya tidak akan susah.
“Tidak akan berubah nama, kecuali tempat kediaman, status kediaman jadi kemas kini berikutnya yang akan diputuskan oleh kerajaan akan bercorak berkurangan dari segi yang patut dikemas kini,” ujarnya.
Mengulas lanjut Mohd Uzir berkata, ketidakyakinan rakyat terhadap sistem tersebut tercetus akibat persespi negatif yang ingin melihat kesan jangka masa pendek terhadap pelaksanaannya.
Menurutnya, PADU memerlukan penganalisian secara terperinci terhadap setiap individu yang telah berdaftar.
Tambahnya, sebagai negara yang maju rakyat sepatutnya menyokong dan menyertai polisi awam yang dilaksanakan.
“Ini era kita bergerak sebagai negara maju. Kalau dulu orang banyak berbeza pandangan tapi terhenti di kedai kopi tapi sekarang semua orang boleh kemukakan pandangan dengan pantas. Ia akan ikut trending. Mula-mula ramai kata PADU ini scammer jadi menyebabkan orang tolak ini yang menyebabkan ada kesan di peringkat awal.
“Kita perlu meraikan ciri-ciri sebuah negara maju adalah penyertaan awam terhadap polisi awam barulah negara dapat berkembang. Barulah ada proses penerangan PADU selamat, kebaikan bagaimana ia berfungsi sebab orang tidak nampak kesan terus,” katanya.
Terdahulu Mohd Uzir berkata, sebanyak 1,092 kaunter pendaftaran PADU dibuka di seluruh negara hari ini sejak 9 pagi hingga 5 petang ini.
Pendaftaran secara dalam talian itu akan tamat pada 11.59 malam ini.
Kata Mohd Uzir, sejak dilancarkan 2 Januari lalu sistem berkenaan berfungsi secara baik tanpa gangguan. – MalaysiaGazette